British Council menawarkan peluang keemasan kepada jurulatih peringkat tempatan atau komuniti di seluruh negara bekerja bersama jurulatih Liga Perdana Inggeris dalam projek bertaraf antarabangsa yang unik dan inovatif. Projek ini antara lain mendedahkan peserta bagaimana sukan bola sepak boleh menjadi medium untuk menyokong proses pembangunan sosial, pendidikan kesihatan dan kesamaan di Malaysia.
Dikenali sebagai Program Kemahiran Perdana, projek ini akan menyaksikan jurulatih Liga Perdana Inggeris dan kumpulan pakar dari pelbagai bidang bekerja bersama jurulatih peringkat tempatan atau komuniti yang terpilih, termasuk guru dari setiap negeri. Program istimewa ini bertujuan merangka program khusus bola sepak mapan untuk diperkenalkan di peringkat komuniti atau masyarakat tempatan.
Program Kemahiran Perdana di Kuala Lumpur akan diadakan selama enam hari mulai 19 Oktober hingga 24 Oktober 2009. Kursus latihan ini merangkumi sesi praktikal pada sebelah pagi dan bengkel pada waktu tengah hari yang antara lain menumpukan pelbagai topik daripada isu nutrisi hinggalah pembangunan komuniti.
Kelayakan
Jurulatih peringkat tempatan atau komuniti dari setiap negeri di Malaysia dipelawa mengemukakan permohonan. Bagaimanapun, calon berjaya dari luar Kuala Lumpur perlu mengurus sendiri pengangkutan ke pusat latihan di Kompleks Sukan Negara di Sri Petaling, Kuala Lumpur sepanjang tempoh kursus latihan.
Calon mestilah:
- Berumur antara 18 tahun hingga 35 tahun
- Bertugas di komuniti serta membuktikan mereka boleh menyalurkan ilmu, kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang kursus latihan kepada pihak lain di sekolah dan/atau komuniti.
- Sihat dan cergas dari aspek perubatan dan fizikal untuk mengikuti kursus latihan. Calon diminta menandatangi deklarasi bagi mengesahkan mereka cergas atau fit bagi mengikuti program ini.
- Sedia menghadiri sepenuhnya kursus latihan yang akan dikendalikan dari 18 Oktober hingga 25 Oktober depan, jika terpilih.
- Calon yang mempunyai pengalaman sebagai jurulatih pasukan bola sepak atau menjadi pemain bola sepak digalakkan memohon.
Sebaik tamat program, peserta yang akan bergelar Jurulatih Komuniti Kemahiran Perdana akan pulang ke komuniti masing-masing dengan ilmu dan kemahiran baru bagi menyokong program pembangunan komuniti melalui bola sepak. Untuk makluman, tamat kursus latihan, semua peserta akan memperoleh Kelayakan Jurulatih EPL Tahap 1.
Empat peserta yang menunjukkan komitmen cemerlang sepanjang kursus latihan akan terpilih menyertai kursus latihan kedua di Vietnam. Kursus latihan kedua ini dikendalikan bagi mempersiapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran mencukupi bagi melatih dan menyokong kumpulan baru Jurulatih Komuniti Kemahiran Perdana di Malaysia bagi sesi Mei 2010.
Program Kemahiran Perdana atau Premier Skills ini disokong agensi tempatan seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Pelajaran manakala ESPN Star Sport adalah rakan media rasmi program ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Kemahiran Perdana sila hubungi kualalumpur@britishcouncil.org.my atau 603 - 27237963 / 7988.

|